Assalamu'alaikum
Bismillahirrahmannirrahim.. dengan nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Penyayang.
Guru memainkan peranan dalam pembangunan sesebuah negara. Jika dikaji, sesebuah tamadun maju pada zaman dahulu adalah tamadun yang mementingkan pendidikan. Ini membuktikan betapa pentingnya peranan seorang guru. Namun, bukan mudah untuk menjadi seorang guru pada abad ke 21. Terdapat pelbagai halangan dan cabaran yang perlu ditempuhi oleh seseorang yang bergelar guru terutamanya cabaran dari pelajar, ibu bapa dan persekitaran itu sendiri.
Tugas seorang guru bukan hanya mengajar ilmu pengetahuan tapi yang paling utama adalah dalam membentuk akhlak dan syahsiah seseorang pelajar itu. Namun begitu, dalam dunia yang serba moden dan berteknologi, tugas guru menjadi semakin sukar sehingga kekadang menguji kesabaran seorang guru dalam mendidik akhlak pelajar. Jika kita lihat, segala maklumat dapat diakses dengan menggunakan hujung jari sahaja, inni disebabkan rata-rata pelajar mempunyai telefon yang canggih yang boleh mengakses internet di mana sahaja. oleh itu, tidak hairanlah jika seseorang pelajar itu dapat mencapai maklumat atau bahan yang tidak sepatutnya dari internet. Keadaan ini yang menjadikan sikap seseorang pelajar itu menjadi semakin tidak berakhlak jika tersalah mencedok maklumat seperti gangsterisme atau bahan-bahan pornografi. Justeru itu, seorang guru perlulah mempunyai kesabaran yang tinggi dan sifat kasih sayang yang kental.
Antara cabaran lain ialah sikap ibu bapa yang sering menyalahkan guru dan sering memenangkan anak-anak mereka. Bukan bermaksud seseorang guru itu tidak pernah melakukan kesilapan tetapi ibu bapa haruslah mengambil sikap terbuka dan berbincang bukan dengan terus menunding jari ke arah guru. Jika kita imbas kembali sewaktu zaman persekolahan dahulu, guru dibenarkan merotan. Terutamanya jika seserang pelajar itu tidak menyiapkan kerja sekolah atau ponteng atau nakal di sekolah. Setelah menerima hukumana 'roti panjang' tidak pula berani untuk bercerita pada ibu bapa. Amat berbeza pada zaman serba moden ini, apabila guru merotan pelajar atas kesalahan pelajar terbabit pasti ibu bapa akan menyaman guru tersebut. Tidak dinafikan, setiap ibu bapa sememangnya sayangkan anak-anak namun sikap inilah yang akan mendorong anak-anak menjadi semakin nakal dan samseng di sekolah. Ibu bapa sering menyalahkan pihak sekolah tidak dapat menjaga disiplin pelajar tanpa menyedari disiplin pelajar bermula dari rumah.
Dunia pendidikan juga berjalan seiring dengan arus kemodenan. Guru pada zaman dahulu menggunakan kaedah 'chalk and talk' sahaja. Berbanding pada zaman kini, guru juga terpaksa menggunakan pelbagai gajet dan sistem bagi berjalan seiring dengan perkembangan teknologi. Jika dahulu sumber guru hanya bergantung pada uku teks sahaja, namun kini guru juga harus menggali maklumat menggunakan capaian internet. Oleh sebab itu, guru pada masa kini haruslah mempunyai kebolehan dalam menggunakan internet dan pelbagai lagi gajet-gajet seperti komputer dan pencetak. Pengenalan kepada pelbagai sistem seperti Sistem Pendaftaran Peperiksaan Atas Talian, Sistem Pendaftaran Murid dan pelbagai lagi juga menjadi cabaran kepada guru terutamanya guru-guru yang telah lama berkhidmat. Ini memberi tekanan kepada mereka kerana mereka terpaksa belajar semula dan ada juga dari mereka terus menolak untuk menggunakan sistem ini dan lebih rela menerima sistem konvensional.
Beberapa aspek lain yang juga menjadi cabaran kepada guru ialah beban tugas pengkeranian dan pelbagai jawatan yang disandang. Selain dari mengajar, seseorang guru itu terpaksa menguruskan beberapa fail dan menyelesaikan tugasnya di atas beberapa portfolio yang dipegangnya. Contohnya, seorang guru itu selain daripada menyiapkan pengajaran dan pembelajaran dalam darjah dan menanda kertas atau buku pelajar, guru tersebut juga memegang jawatan sebagai Guru Buku Teks Sekolah, Guru Kelas, atau Guru Disiplin. Oleh yang demikian, guru tersebut terpaksa menguruskan fail-fail, rekod kemaskini, minit mesyuarat dan sebagainya yang perlu dilengkapi dan diuruskan dengan baik.
Kesimpulannya, bagi merealisasikan tema hari guru 2016 iaitu Guru Pembina Negara Bangsa, maka seorang guru haruslah menyahut segala cabaran yang berada di hadapannya. Bukan mudah untuk menjadi seorang guru. Semangat yang kental dan kesabaran yang tinggi perlu dilatih saat seseorang itu mula melangkah ke alam perguruan.
SELAMAT HARI GURU
WARGA PENDIDIK
WARGA PENDIDIK
karya asli:
Zalina Hassan zamri
1.10 am 3/5/2016
p/s: semoga cikna sentiasa kuat, tabah dan sabar dalam menempuh cabaran sebagai seorang guru.
No comments:
Post a Comment